Friday, December 18, 2009

KETIKA


Terkesan seketika

Terkesima sedetik

Saat terdengar akan lirik lagu

Yang bisa meruntum pangkal nyali…



Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu maha cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika cinta bertasbih

Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta



Sunday, December 6, 2009

WARKAH BUAT MEREKA

Persoalan ini acapkali menyapa perigi fikiranku. Mengapa bila kita jujur orang susah mahu menerima kenyataan tapi, bila kita berbohong orang sangat mudah untuk mempercayainya? Dalam hal ini, siapa salah dan siapa benar? Aku atau mereka? Untuk tahun 2009 sahaja aku sudah mengalami perkara yang sama sebanyak dua kali. Mengapa mereka susah mahu menerima kenyataan yang benar itu? Aku tidak mahu membohongi sesiapa... aku cuma mahu jujur dalam perhubungan... itu sahaja. Salahkah aku berbuat demikian?

Adakah itu satu lumrah manusia yang baru kutemui sepanjang 23 tahun hidup ini? Atau... adakah perjalanan hidupku untuk mengenal erti sebuah kehidupan sebegitu rupa? Sebegitu yang sering mengganggu hati dan perasaan? Bila nyali dah terguris, pedihnya menghiris. Melalui kolam air mata sahaja bisa kubuang dan kucuba bangun perlahan-lahan demi meneruskan hidup yang belum selesai.

Ku menyeru kepada mereka, janganlah singgah di qalbi ini jika tidak dapat menerima aku seadanya. Cukuplah dengan apa yang kumiliki kini. Aku tidak mahu lebih.

Kepada bonda dan ayahanda, anakmu memohon ampun seribu kemaafan dipohon. Bukan anakanda tidak mahu mencuba untuk menunaikan hasrat bonda dan ayahanda tapi mereka yang tidak mahu menerima anakanda seadanya. Apakan daya hati anakanda masih ada dia. Bukan anakanda yang pinta keberadaannya di situ. Bukan.

Puas sudah anakanda melemparkan doa seluas-luas lautan, puas sudah anakanda berikhtiar. Dan sudah letih rasanya qalbi ini menerima kehadiran insan-insan yang sekadar singgah lalu pergi. Anakanda sudah capek bonda, ayahanda. Berilah ruang untuk anakanda bernafas dengan tenang agar perjalanan anakanda tiada sangkut-sangkut.

Wednesday, November 11, 2009

Sekadar Luahan

Bila aku sendiri
Terasa diri sepi
Tiada siapa yang mampir
Tiada siapa yang hadir

Tika aku ingin sendiri
Saat waktu mengejar diri
Semua datang mampir
Kalian semua hadir

Tapi,
Bila aku lagi keseorangan
Tika aku lagi sendirian
Gusar hidup yang penuh kebosanan
Sendirian aku ditinggalkan.


24 april 2009
12:50 am

Tuesday, October 27, 2009

Gulita malam yang hangat mengajak aku menyelongkar khazanah kesayangan. Satu persatu barang berharga kutemui. Terimbas kembali kenangan apabila melihat sesuatu yang berharga itu. Mulanya aku mengerti akan kehendak diri. Dari situ juga aku memahami apa yang kuinginkan dalam hidup ini. Ianya sekadar coretan biasa yang kusalin semula didalam sebuah buku kecil bergari satu. Coretan-coretan itu bukan sahaja cotengan biasa atau luahan rasa. Ia adalah puisi yang kukenal, kubaca dan kucintai hingga kini. Waima bahasanya tidak setinggi bahasa Sasterawan Negara mahupun pujangga lain. Tetapi, cukup puas bagiku jika mengenang dan membacanya kembali dalam nada bersajak. Kenangan yang paling tidak dapat kulupakan adalah buat pertama kalinya aku deklamasikan sebuah sajak di dalam bilik darjah terus membawa aku JOHAN dalam pertandingan deklamasi. Sesuatu yang tidak pernah kujangka waktu itu. Dan masih segar lagi dalam kotak fikirku, puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ pernah jua kudendangkan pada hadirin di waktu majlis sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya, Ampang.




Kerja menyelongkar dan membersih memang kerja aku di rumah. Habis semua barang kubongkar. Dan kali ini aku bertemu dengan satu lagi khazanah yang kufikir ada nilainya. Inilah dia sebuah buku kecil yang kurapikan dengan pembalut berbunga. Di dalamnya penuh dengan luahan rasa aku waktu itu. Ketidakpuasan hati pada manusia, alam dan binatang juga terhimpun di dalamnya.




Meskipun keduanya sudah kelihatan agak uzur (lebih uzur yang satu lagi), tapi akan ku simpan untuk dilihatkan kepada suami, anak dan cucu-cucuku suatu saat nanti.

Tuesday, October 20, 2009

IDOLAKU

Orang tua itu... rambut dan janggutnya hampir sama panjang. Urnanya juga. Bertubuh kecil dan kurus tapi masih mampu berjalan walau sejauh mana beliau mahu tuju tanpa sebarang pengangkutan. Alangkah!

Dengan tas kain yang digelek di bahu kanan menampakkan lagi kewibawaannya sebagai seorang seniman. Seniman yang bukan bergojet, bergelek dan berdrama di atas pentas, tapi beliau berjoget, bergelek dan berdrama dengan kitab-kitabnya.

Penulis yang aku sanjung. Penyair yang mula-mula kukenali. Sasterawan yang pertama kucintai. Putih uban itu barangkali yang menarikku. Akan kuteriakkan pada dunia akan rambut dan janggutnya itu yang berjaya memikat hatiku untuk terus melangkah sama dan selari dengan beliau suatu saat nanti.

Satu persatu kaki kugaghi untuk maju ke hadapan berganding bersama mereka. Dengan harapan aku juga akan menjadi seperti mereka!

Wednesday, October 14, 2009

Terasa

Gelap.

Hitam.

Pekat.

Mata.

Tertutup.

Anak.

Menangis.

Hujan.

Friday, August 28, 2009

PANTASKANLAH WAKTU INI BERLARI...

Perlekaskanlah detik waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup berlama-lamaan di kala serba serbi payah hidup ini. Mungkin atau memang salah aku jua suatu waktu dulu. Aku tersangat ikutkan rasa senang-lenangku waktu itu. Dan kini? Rasakan pada muka kau Epa!

Rasanya mahu saja aku gelak besar. Ketawa sepuas-puasnya. Gelakkan diri ini. Tapi, adakah aku puas setelah itu? Adakah ketenangan jiwa yang kukecapi? Barangkali orang yang melihat akan berkata, “gila perempuan tu agaknya.” Dan waktu itu haruskah aku berang mendengarnya? Perlukah aku melawannya kembali dengan mempertahankan kebenaran yang kurasa ia benar? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku memang salah.

Tiba-tiba aku teringat dengan falsafah seorang teman kuliah yang sehingga kini kupegang dan kadang-kala menjadi tunjang utama karyaku. Falsafah itu berbunyi, “hidup bukan pilihan tapi kita yang harus memilih.”

Dan hidup disisi keluarga pada bulan puasa ini adalah pilihanku.

Tuesday, August 11, 2009

TAHNIAH GURU!


11 OGOS 2009 mungkin tarikh yang bermakna pada potret insan di sebelah. TAHNIAH Datuk Doktor Anwar Ridhwan! Akhirnya impian setiap penulis menjadi kenyataan pada anda setelah penat dan jerih mendaki, kini anda berada di puncak. Anda sememangnya orang yang paling layak bergelar Sasterawan Negara yang ke-10. Epa berbangga sangat-sangat kerana dapat menjadi pelajarnya waima hanya sebagai dekan fakulti penulisan. Anda punya hati dan sikap yang begitu lembut sekali. Tiada tandingannya. Insya-Allah sebagai murid, perlahan-lahan Epa memasang nawaitu untuk mencapai tahap seperti beliau.

Wednesday, July 29, 2009

SENDIRI DI LAUTAN SEPI

Baru kini aku merasakan bagaimana rasanya apabila diri yang tidak sempurna ini tercampak di lautan. Yang dulu hanya hidup di akuarium, aku merasa puas bila sesuatu hasil kerja diterima dan dipuji. Tapi kini, tiada lagi puji-pujian. Tiada lagi kata sanjungan. Tiada kata nasihat dan teguran yang didengar apabila tersalah laku kerja. Tiada lagi. Hanya maki hamun yang diterima, malah.

Aku terkapai-kapai untuk terus hidup dan berenang agar selari dengan mereka yang berada di lautan ini. Rakan-rakan yang masih berada di akuarium, menarik nafas lega kulihat. Lega kerana masih terpenjara di dalam akuarium itu. Lega kerana siripnya masih utuh untuk terus bermain di dalam akuarium. Sedang aku, sudah kelemasan dek kerana persiapan untuk aku berenang di lautan tidak lengkap sepenuhnya. Namun, kupujuk seketul nyali dalam diri agar terus tabah dan bertahan jika mahu segaris dengan ikan-ikan yang besar.

Friday, July 17, 2009

KASIHAN

Mengetahui banyak hal tentang rakan-rakan ASWARA yang punya masalah soal kewangan untuk melanjutkan pelajaran di bumi ASK dahulunya, kini dilanda musim gerimis. Entahkan bila akan redupnya. Barangkali tidak akan redup sehingga keputusan bulat dimeterai. Kasihan mereka. Mereka tidak tahu ini akan berlaku. Tetapi, Epa sudah lama menjangka hal ini akan terjadi pada Epa jika mahu perkara yang sama seperti mereka. Apa tidaknya kalau di negari Epa, (Padang) Epa kini sudah menjadi buah mulut orang. Dengan umur yang semakin meningkat yang tidak juga ada khabar-khabarnya untuk dipetik orang, maka bermulalah seribu macam cerca dan hinaan yang akan dikirimkan pada Epa. Mujur sahaja Epa tinggal di Malaysia. Jika tidak… Wallahualam…

Bunyinya seperti sesuatu yang mulia (sambung belajar) namun, kekangan jiwa dan gelodak riak wajah penjaga yang merayu meminta untuk menghentikan niat suci itu membuatkan sahabat-sahabat Epa hampir kecundang. Ditambah lagi dengan ‘KETEGASAN’ ASWARA yang kononnya pendaftaran dan yuran harus dilangsaikan pada hari pendaftaran juga membuatkan mereka hilang akal, hilang idea untuk meneruskan niat suci mereka. Alangkah!

Bila mengetahui hal ini, Epa rasa hendak mengutuk dan menyumpah dalam hati dengan perubahan baru pengurusan itu. Perlukah semua itu berlaku disaat mereka menggenggam seribu harapan untuk terus berjuang demi nama ASWARA..? Haruskah itu yang dilemparkan oleh mereka-mereka yang suatu saat dahulu dengan pantasnya menghulurkan surat tawaran? Kejamnya duniamu!

Friday, July 10, 2009

SELAMAT KEMBALI


Selasa, 7/7/2009, satu pesanan ringkas telah Epa hantar pada kawan yang sedia memberi pertolongan dan sentiasa ada walau susah dan senang Epa. Ringkas sahaja bunyinya…


‘Mamu, patut ke aku berhenti kerja sekarang?’


Agak lama juga Epa menanti balasannya. Akan tetapi pesanan itu berbalas juga akhirnya. Dan ringkas juga jawabnya…


‘Malam nanti aku jawab, bagi aku masa fikir.’


Epa sekadar menarik nafas panjang. Epa tahu dia bukan orang yang suka memberi jawapan tanpa berfikir. Dan malam itu dia menghubungi Epa. Panjang lebar nasihatnya pada Epa. Mula-mula tu Epa cuba dan ingin bercerita memberitahu dia betapa tekanannya Epa waktu itu… tapi akhirnya Epa kalah dengan satu ayatnya; ‘


Kalau hang nak berhenti sekarang, dan hang nak balik kampung dengan niat nak tenangkan fikiran dan selepas itu hang akan rasa balik apa yang hang rasa sekarang ni, hang mahu?'


Epa geleng waima dia tidak nampak gelengan Epa itu. Dia menyambung lagi,


‘Sabar Epa, dua tiga bulan je, lepas tu normallah hidup hang,’


Epa berfikir sejenak, mungkin ini dugaan… dugaan selepas PeTA dan permulaan alam pekerjaan sebagai orang yang memegang diploma. Dulu masa sebelum meneruskan niat untuk menyambung belajar, Epa tak ambil peduli dengan kerja bagi Epa selagi kerja itu halal kenapa tidak kita lakukan, tetapi sekarang baru Epa rasa bagaimana perasaan orang yang ada diploma. Ini baru diploma belum ijazah atau master. Entah apa pula rasanya bila bekerja sama taraf dengan orang yang tak habis belajar waktu itu.


Hem… entahlah manusia yang punya akal, hati dan perasaan yang sukar dibendung keinginannya. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak wahai sahabat! Kerana kamu telah memberi aku seribu semangat untuk terus bertahan.



Monday, July 6, 2009

HIDUPKU KINI

Setelah hampir dua puluh hari menjalani hidup seperti manusia dewasa, Epa rasakan hidup ini lebih rumit dari yang dulu... hidup ini bertambah bosan bagi Epa, hari-hari perlu bekerja, perlu mengikuti masa yang telah ditetapkan dan pulangnya pula dalam keadaan yang meletihkan. Tidak adakah ruang di dunia ini yang bisa Epa hirup udaranya dengan tenang tanpa ada tangungan dan bebanan yang perlu Epa pikul? Yang bisa Epa huni tanpa perlu tuntutan zahir dan duniawi? Adakah tempat yang sebegitu di dunia ini? Epa memerlukannya waktu ini. Perlu untuk diri yang semakin memberontak, perlu untuk jiwa yang semakin kacau bilau. Perlu juga untuk hati yang kian lama bercelaru.
Tiba-tiba qalbi Epa berbisik ; katanya ia teringin untuk hidup di tempat yang udara dingin dan hari-harinya dipenuhi dengan berteman coretan dan cacatan hidup buat simpanan. Tapi akal waras Epa menolaknya, dengan berkata ; gila apa?!

Tuesday, June 30, 2009

PERPINDAHAN

Bukan berpindah sekolah, bukan berpindah kampus bukan juga berpindah rumah. Akan tetapi ia adalah satu perpindahan laman mini untuk santapan nyali tetamu di sini. Dari rainroses.wordpress.com hinggalah ke amepa.blogspot.com. Semasa ia tercipta, penulis sedang sesak dibebani oleh tugasan-tugasan kuliah, namun untuk menenangkan peribadi untuk terus berjuang, Epa cuba rehatkan minda dengan menghasilkan puisi yang tidak seberapa nak elok ini. Cukup sekadar pelepas rasa rindu pada pembikinan puisi. Selamat menyantap.


HARAPAN

Sedalam cintaku
Pada kekasih
Dalam lagi cintaku kepada
Tuhanku.

Jangan kau tersalah duga
Setinggi hormatku
Pada kekasih
Tinggi lagi hormatku kepada
Tuhanku.

Jangan kau menuding telunjuk
Kerana kau hanya dicipta untuk aku
Bukan kau yang mencipta aku.

Jangan kau tersalah tafsir
Cintaku bukan semata untukmu
Cintaku terbahagi sembilan
Cintaku bukan satu.

Jangan kau berharap
Kau ditempat pertama.

Monday, June 15, 2009

TUAH 12


12 Mac 2004, tanggal keramat di mana Epa berani mengambil risiko untuk menyerahkan hati dan perasaan pada seorang pemuda yang Epa sendiri buat waktu itu tidak tahu sama ada dia hanya sekadar bercanda dan hanya untuk melepaskan kesunyian nyalinya tanpa wanita. Namun, setelah lima tahun ikatan yang tidak rasmi itu terjalin, dia masih berpegang pada janji. Alhamdulillah... hanya itu yang mampu Epa luahkan.


12 Jun 2009, satu lagi tarikh penentu masa depan Epa telah Epa lalui dengan hati lapang. Hari pembentangan projek Penilaian Tahun Akhir setelah tiga tahun menghempas pulas menimba sebanyak mungkin ilmu yang dicurahkan oleh para pendidik di ASWARA, akhirnya membuahkan hasil yang lumayan dan memuaskan. Kebaloian yang ditunggu-tunggu mencapai nikmat puncak bahagia apabila mendengar komentar yang membina oleh para penilai. Alhamdulillah sekali lagi terpancut di bibir Epa.


Tuhfah yang paling berharga dalam hidup ini adalah ilmu yang dituangkan oleh para guru digunakan sebaik mungkin. Kemudian rasailah kepuasan yang tiada tandingannya itu.


Dua kalimat sebelas abjad yang disusun menjadi sebuah penghargaan yang tidak pernah lekang pada dua rekahan bibir buat mereka yang tidak pernah jemu menyirami Epa dengan ilmu dunia dan akhirat.


Tiada bungkusan cenderamata yang dihulurkan buatmu wahai pendidik untuk membalas jasa kalian. Hanya keberhasilan anak didikmu ini yang mampu diberikan. Dan marilah kita kongsi ianya bersama selain rasa syukur yang menggunung dalam diri ini apabila kamu semua berjaya mendidik anak bangsa.



Sunday, May 17, 2009

SELAMAT BUAT PENDIDIK

Pertama-tama kali, Epa nak ucapkan Selamat Hari Guru buat semua pendidik di dunia ini. Tanpa pendidik, siapalah anak bangsa. Bila terbaca blog En. Wan rasa macam cemburu pun ada sebab beliau masih ingat lagi nama-nama guru beliau dari sekolah rendah hingga ke tahap tertinggi. Tapi Epa, hanya seorang sahaja cikgu yang berkesan di hati Epa dan hingga kini, Epa masih ingatkan dia sahaja. Tak tahulah kenapa. Dalam banyak-banyak cikgu hanya dia yang mampu buat Epa menangis dalam hati setiap teguran, ucapannya tidak pernah menyakitkan hati. Semua dilakukan dalam kelembutannya sebagai seorang wanita muslim sejati. Dan dia juga adalah guru pertama yang tanya cita-cita Epa.

Waktu itu Epa masih lagi ragu-ragu dengan apa yang Epa katakan tentang cita-cita Epa sendiri. Tapi, dia sempat memberi ransangan pada Epa. Katanya, kalau nak jadi penulis, harus berani memberi orang lain baca karya kita walau sesampah mana sekali pun karya itu kita rasakan. Mungkin bagi orang, karya kita itu adalah intan. Kita tak tahu. Harus tebal telinga untuk mendengar segala kritikan. Harus kuat! Katanya pada seisi kelas. Saat itu Epa merasakan yang Epa sedang dimalukan. Epa dimalukan di hadapan semua kawan-kawan sekelas! Terasa diri diperkecilkan. Barangkali waktu itu Epa masih tidak mengerti. Tetapi, kini Epa hargai kata-kata cikgu itu.

Sewaktu Epa menyatakan cita-cita Epa padanya Epa masih tidak yakin apa benar cita-cita Epa itu? Tapi kini, bukan sahaja yakin, malah Epa sudah siap untuk menjadi seorang penulis. Langkah pertama telah Epa mulai dengan menjejakkan kaki ke ASWARA.

AZIZAH namanya. Mukanya bulat, putih dan memakai cermin mata. Satu yang pelik tentang cermin matanya bagi Epa saat itu, adalah cermin itu akan berubah warna dari terang ke gelap apabila terkena cahaya matahari. Namun kini, tiada lagi kepelikan itu. Dia sentiasa berbaju kurung yang diperbuat dari kain yang mahal-mahal. Berserta tudung penutup kepala. Gayanya ringkas tetapi nampak seperti wanita-wanita kelas atasan.

Dan kini Epa menyimpan hajat untuk dia. Jika ada rezeki dan diizinkan Tuhan, novel pertama Epa terbit, Epa akan menemui cikgu itu dan menunjukkan bukti yang anak didiknya telah berjaya mencapai cita-cita waima pada mulanya dia ragu-ragu.

TERIMA KASIH CIKGU!

Selamatlah kamu di dunia dan akhirat... Amin....

Monday, May 11, 2009

TANGGAL PENTING

12/05/2009 – 10.00 am. – 12.00 pm

Tarikh dan waktu terakhir untuk Epa duduk di bangku biru dan meja biru itu, sepuluh minit terakhir Epa memutuskan untuk meninggalkan dewan sepi yang di dalamnya sarat dengan perasaan gemuruh mangsa-mangsa taruhan.

Perjuangan di dewan ini, hari ini, adalah kali terakhir untuk hayat ini… selamat tinggal, bangku dan meja biru, selamat untuk kertas hijau dan kertas kuning juga sudah selamat disimpan. Selamatlah buat semua yang terlibat.

Diri ini minta diselamatkan untuk Penilaian Tahun Akhir 2008/09 yang akan menjelma pada 11, 12 dan 13 Jun 2009 ini pula. Sama-samalah kita minta diselamatkan. Amin….

Thursday, May 7, 2009

GIGIH RAINROSE GIGIH...

Gigih,
Dengan semangat yang bersisa,
Epa gigih menyempurnakan tugasan...
Ini pertama kalinya Epa merasa
Betul-betul belajar...
Kalaulah dulu, masa waktu sekolah dulu
Belajar segigih ni kan bagus...
Ni tidak, waktu exam PMR sementara menunggu masa
kertas seterusnya sempat lagi pergi main bowling,
Masa SPM pula, esok nak SPM hari ni sempat lagi pergi mandi-manda di sungai...
Tu yang keputusan ala-ala kadar,
Kata orang cukup-cukup makan je...
Nasib baik cukup-cukup makan,
Kalau untuk makan pun tak cukup,
Tak tahulah apa nak jadi.
Hai...,
Nasib, nasib....

Thursday, April 23, 2009

RAHASIAKU

AKU BENCI HIDUP INI
AKU TIDAK MAHU DI SINI LAGI
DI MANDALA MEREKA YANG TIDAK PERNAH MENGERTI
RASA HARUNYA HATI
AKU MAHU MATI
DENGAN SENDIRI
TANPA ADA YANG MENANGISI
p/s : kpd sesiapa yg mengerti, harap mendiamkan diri

KERETA IDAMAN

ENTAHKAN BILA DAPAT KUMILIKI KOTAK
YANG BISA BERGERAK SEPERTI INI????

SEMBUNYI


DI BALIK PANDANGAN ITU
TERSEMBUNYINYA AKU
DAN
DI DALAM AKU
ADA DIA YANG SATU

Sunday, April 19, 2009

SIBUK

Terlalu sibuk sehingga lupa untuk memanjakan diri di saat ulang tahun baru-baru ini, begitulah kejamnya masa yang sentiasa memburu mangsanya. Epa terpaksa berlari ke sana, berlari ke sini untuk memastikan semuanya berjalan dengan sempurna... walau perit, walau payah, namun, hati ini tetap menggunung untuk mencapai satu impian.
Dan,
Di kesempatan ini, Epa nak ucapkan selamat ulang tahun pada diri yang semakin dikejar usia...
Insya-Allah, panjang umur, murah rezeki tahun depan akan dimanfaatkan sebaik mungkin tanggal 16 APRIL....
Selamat Ulang Tahun Epa!

Monday, April 6, 2009

LELAHKU

Aku di mandala waktu
Berkejar menuju yang satu.

Tuesday, March 17, 2009

BERIKAN AKU SEMANGAT-MU

Mimpi-mimpi yang menggangu hidup Epa.
Mimpi yang Epa sendiri tidak tahu apa maksudnya.
Mimpi yang menghuru-harakan hidup Epa sehingga kerja-kerja yang sememangnya tertangguh bertambahlah tempoh tangguhannya.
Mengapa mimpi ini hadir saat hidup Epa lagi dikejar masa?
Tidakkah ia kasihan melihat Epa yang sentiasa diburu dan dicemburui oleh masa?
Masa Epa hanya tinggal 59 hari saja lagi untuk Epa menyiapkan hampir 1000 halaman tugasan. Dan Epa menulis tidak sampai pun 300 halaman.
Ujian apa ini? Dugaan apa ini? Cobaan apakah ini?
Ditambah lagi dengan kesihatan yang kurang sempurna. Sering sakit. Sering lemah. Sering tertekan.

Ya-Allah... berikanlah aku semangat dan kesihatan yang sempurna untuk kusudahi tugasan yang tertangguh ini.

Semangat... semangat... semangat... Epa perlukan semangat...!!!

Sunday, March 15, 2009

Thursday, March 12, 2009

LELAKI

DEDIKASI BUAT AYAH... (BAHARUDIN BIN MUHAMAD)

Telah berdiri seorang lelaki
Hidup berbekal kecekalan diri
Walau menghadapi sejuta cabaran
Terus berpaut pada kebenaran
Berkurun sudah kau merintis jalan
Bertahun sudah hasratmu terhalang
Tetap bersemarak api keazaman
Bara keramat doa dan harapan
Kau melangkah bermula dari lembah
Kau mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering kau ditikam onak
Namun kerana kau lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisanmu rahsia dihati
Kesepianlah teman nan sejati
Di dalamnya kau mengenal diri
Tenangnya wajah matangnya bicara
Kerana kau menyakini
Tuhanlah yang maha ESA


Di saat Epa leka menekan-nekan punat kekunci komputer riba, sambil mendegar lagu-lagu baru dari penyanyi tersohor Malaysia, Siti Nurhaliza Epa tertarik dengan bait-bait lagu ini. Amat dalam maksudnya. Walau ayah tidak mengetahuinya tapi Epa tetap hendak menghadiahkan patah lirik lagu ini buat ayah.

Selama ini kita tidak pernah berbicara lebih.

Selama ini kita tidak pernah bercakap dari hati ke hati.

Selama ini juga kita tidak pernah duduk berdua berbincang.

Kita tidak sependapat.

Kau, kau. Aku, aku.

Inilah kehidupan kita.

Sesekali bila Epa renung ke dalam diri, Epa terlihat ayah dalam diri Epa. Segala-galanya dari ayah. Raut wajah, perangai, kesukaan, pemikiran, semua seperti ayah. Semangat ayah terpacak kemas dalam diri Epa.

Ayah,
Kau tabur benih dalam rahim ibu,
Menjadi seketul daging,
Keluarnya seorang puteri,
Tanpa kau disisi menemani.

Ayah,
Kau sebar kudrat lelakimu,
Mencari nafkah halal,
Untuk keluargamu,
Tanpa keluahan darimu.

Ayah,
Kau wira segala wira,
Kau wira dihati ibu,
Kau wira dihatiku,
Kau wiraku yang sebenar-benarnya.


TERIMA KASIH WIRA!


Wednesday, March 11, 2009

KETINGGALAN...

Sebenarnya banyak perkara yang Epa tertinggal...

Jumaat 6 Mac 2009,

Pulangnya seorang pendekar kata-kata kerahmatullah...
En. Zubir Ali. Siapa dia? Cukup sekadar Epa gelarkan beliau pendekar kata-kata...
Jika ditanya pada generasi baru kini, siapa beliau? Mungkin ada yang melontar kata-kata seperti ini :-

“Hebat sangatkah beliau? Lagu apa yang dinyanyikannya? Apa sumbangan beliau pada negara dan bangsa?"
Dan
Mungkin jua
Ada yang hanya sekadar tersenyum dan menggeleng.
“Saya tak kenal dia siapa?”

Tapi bagi Epa,
Dia sebutir permata di dasar hati Epa sebagai pelajarnya...
En. Zubir Ali satu nama yang gah dalam lagu-lagu puisi...
Lagu-lagunya banyak mengajak kita lebih dekat pada Tuhan
Lagu-lagunya banyak mengajar kita mengenali diri
Lagu-lagunya juga banyak memberi semangat kepada pendengarnya yang setia...
Itulah Zubir Ali yang saya kenal...
Walau hanya satu semester bersama beliau tetapi kenangan dan ilmu yang ditinggal dan dicurahkan bagai air bah cukup untuk Epa kenang beliau hingga hujung nyawa...

Terima kasih pendekar!

Dan
Selasa, 10 Mac 2009,

Seorang lagi pendekar yang dijemput. Ini baru pendekar kerana tok guru ini guru silat di tempat Epa belajar. Beliau dikenali sebagai Pak Anuar. Walaupun Epa tidak kenal dengan beliau tetapi sebagai pelajar yang bernaung di bawah satu bumbung tempat arwah mengajar tidak enak rasanya Epa meminggirkan beliau. Jasa beliau terhadap anak-anak didik juga tiada bandingnya.

Semoga pendekar-pendekar ini ‘aman’ di sana. Amin....

Friday, February 27, 2009

PAHIT MANIS FEBRUARI


Mulanya…

Februari yang senteng ini dianggarkan bulan yang pahit untuk dilalui….

Sangkaan Epa bulan ini bulan yang menyeksakan tanpa ada sinar dibaliknya. Apa tidaknya awal-awal lagi Epa sudah diuji dengan masa dan tanggungjawab. Tanggungjawab seorang kakak, pelajar dan bakal penulis.

24 jam sehari,


Kini baru Epa rasakan angka itu tidak mencukupi untuk melakukan semua kerja dan tanggungjawab. Bayangkan tolak tidur ; enam jam setengah, makan ; setengah jam, persiapan membersihkan diri dan masa menghadap TUHAN sudah makan masa satu jam. Epa sudah kehilangan lapan jam. Hanya tinggal 16 jam saja lagi.

Waktu 16 jam itu sangat singkat.


Cuma perlu pejam celikkan mata sudah telan 15 jam. Sisanya satu jam cuma.

Satu jam!


Terfikir dek benak Epa, apa yang perlu Epa lakukan selama satu jam itu? Sudah makan pula suku jam waktunya. Hanya untuk berfikir cuma. Tinggal seperempat waktu lagi. Akhirnya seperempat masa itulah yang Epa gunakan untuk menulis segala yang terpendam. Termasuklah PeTA yang menanti.

Dan di bulan Februari ini juga, Epa mendapat cahaya yang dinanti… kedatangan seorang maskulin tautan hati semua yang menanti…

Mudah-mudahan bulan seterusnya Epa dapat masa yang lebih lagi untuk menyempurnakan PeTA Epa.

PeTA, Oh PeTA…!


Sunday, February 22, 2009

UPIN IPIN isyarat & bukti?




22 februari 2009

Genap dua kali Epa menonton filem kegemaran anak-anak era ini

kalau ada rezeki dan peluang lagi Epa pasti akan menontonnya kembali.

Pertama kali Epa menonton dengan kawan-kawan

dan 22 hari bulan ni, bersamaan hari sabtu,

Epa menunaikan janji Epa pada adik-adik Epa untuk membawa mereka ke panggung

menyaksikan filem "Geng Pengembaraan Upin dan Ipin."

Bukan main gembira lagi dia orang. Sehingga sampai di rumah pun dia orang

masih lagi rancak bercerita Upin dan Ipin ini pada Epa. Padahal mereka tahu yang Epa sudah

menontonnya dahulu sebelum mengajak mereka. Mereka cuba mengulang dan meniru gaya dan

aksi Upin dan Ipin di dalam filem ini.


Dengan terhasilnya Upin dan Ipin ini,

maka ia terbukti bahawa kemampuan rakyat Malaysia juga mampu setanding dengan

kehebatan filem-filem kartun dari luar negara.
Dan ia adalah satu isyarat dan juga petanda bahawa
rakyat Malaysia sedia menyahut cabaran!


KETIDAKSABARANKU

LEKASLAH MALAM BERLALU
AKU SUDAH TIDAK ENAK MENUNGGU
DEBARAN YANG TIDAK TERTANGGUNG OLEH DIRIKU
MENANTI SAAT MENGENDONG DIRIMU

PANTASKANLAH WAKTU INI
KERANA AKU TIDAK MAHU LAGI MENANTI
SETIAP DETIK YANG TIDAK BERERTI
KERANA DIRI TELAH DIRASUKI

SEUSAI BULAN BERSEMBUNYI
FAJAR TERBIT SINARI PAGI
DAN AKU AKAN TERUS BERLARI
TANPA MENOLEH KE BELAKANG LAGI



p/s :- khas buat anak bunda (NAWFAL)
bunda akan sentiasa merinduimu....

Thursday, February 19, 2009

TOPENG DAN PENGGEMARNYA

Kelmarin, rakan seangkatan meluahkan rasa kurang enaknya pada Epa. Kata ayah, 'kalau hendak jadi pemimpin, harus menjadi pendengar yang baik.' Dan Epa memang terlatih untuk itu. Kerana Epa komando untuk empat orang prebet lagi. Dengan hati yang teguh tanpa berbelah bahagi, Epa mendengar luahan itu.

Katanya… c anu ni bertopeng. Dan penggemarnya pula sangat menggemari cara dan lenggok c anu ni. Ditambah lagi dengan arca dan lukisan yang menarik pada topeng, maka bertambah-tambah cantik dan menariklah c anu di mata c polan. Tapi yang sedihnya c anu ni sanggup membontotkan rakan-rakan seiring dan sejalannya, serumah dan setilamnya. Bukan sahaja setakat mengenepikan, bukan sahaja membelakangkan, malah terus membontotkan rakan-rakannya ini yang kononnya bila susah sesama bila senang, c anu bertopeng.

Sehingga di sekolah, dari mula junior, senior, cikgu hinggalah guru besar tertarik pada ketopengan c anu ini. Yang c polan kononnya pendidik bangsa, penegak bahasa, pemimpin masyarakat juga turut tertipu dengan lenggokkan dan permainan c anu ini. Kasihan kawan-kawan c anu.

Kenapalah dunia ini dipenuhi oleh orang yang bertopeng sebegini? Perlukah topeng itu dalam hidup ini?

Mak Epa selalu cakap,
‘kita perlu hidup dengan nasi putih dan air suam saja’ Epa sangat-sangat memahami kata-kata itu.

Sekali dengar gah bunyinya. Tetapi bila difikir dan direnungkan kembali, ayat itu hanya untuk manusia bodoh sahaja. Sedangkan mak Epa sendiri sedang bermain dengan perisa dan pewarna kehidupan ini.

Dada kecil Epa hanya mampu mengembangkan doa selebar-lebarnya untuk
c anu
yang bertopeng ini dan juga penggemarnya yang setia.

ANJING MABUK PADANG MERBOK

Agaknya puaka Padang Merbok telah tiba, agaknya juga anjing-anjing itu mabuk dek banyak minum. Apa tidaknya setiap kali yang menapak di padang itu, pasti dikejar dengan anjing-anjing mabuk ini. Si pejalan pula bila anjing sudah gonggong, dada berombak kencang, kaki automatik lari. Bila dah lari, anjing ikut lari mengejar. Tapi, bila si pejalan terjatuh, anjing pun bawa diri. Aneh bunyinya bukan?

Tapi inilah hakikatnya. Selama lapan hari Epa tinggal di Asrama ASWARA ni, inilah rutin harian si anjing-anjing mabuk. Dan mungkin juga puaka dari Padang Merbok. Siapa tahu?


Minggu lepas sahaja dua cerita dari teman rapat mewartakan pada Epa bahawa dia baru sahaja lepas dikejar anjing di Padang Merbok. Yang seorang cedera di bahagian pinggangnya demi melindungi kamera kesayangan, sanggup mencederakan diri sendiri. Dan seorang lagi terkejut kerana gongongan anjing, dan terus cabut lari maka, terlekaplah luka-luka ditangan, kaki dan juga dadanya. Dan hari isnin yang baru berlepas ini pula, seorang teman sekasbah Epa menjadi mangsa gonggongan anjing-anjing mabuk ini. Syukurlah dia tidak cedera tetapi rakannya pula yang telah tercium tar dan tertempellah luka kecil di lutut dan kakinya.

Ini yang terbaru. Kelmarin, 18 Febuari 2009 Epa sendiri yang menyaksikan anjing-anjing mabuk ini mengejar mangsanya. Dalam kesamaran cahaya malam, Epa melihat lima ekor anjing sedang berlari mengejar seorang mangsa. Mangsa terjatuh dan cuba gagahkan diri melawan anjing-anjing itu dengan membaling sesuatu pada anjing. Anjing bertempiaran lari.


Apalah agaknya yang dimahukan oleh anjing-anjing itu, ya? Laparkah ia? Atau… ia dilanda penyakit sawan?


Kalaulah Epa dapat menyelami perasaan anjing-anjing itu, pasti Epa cari penawarnya agar ia tidak lagi menganggu manusia lain. Alangkah!


Tuesday, February 17, 2009

BAYANGKAN

Gambarkan anda baru sebesar ini
Gambarkan anda baru hendak bertunas
Gambarkan anda baru saja mahu hidup
Tidakkah anda terbayangkan hidup
Yang akan anda lalui Sangat memeritkan
Dengan suhu kepanasan
Dengan tiada bekalan makanan
Dengan jiwa yang kekosongan
Bagaimana anda agaknya?
Ketahuilah itu.


ITULAH SEMANGATNYA...!

Kayuh punya kayuh
Punya kayuh
Gigih aku mengayuh
Pulun punya pulun
Punya pulun
Sekeras tenaga aku memulun
Aku hampir sedar
Aku hampir terdampar
Namun,
Aku tidak mahu kalah
Aku terus lagi mendayung
Kali ini lebih perlahan
Perlahan, perlahan dan perlahan
Impianku cuma satu
Sebaris dengan mereka!

Monday, February 16, 2009

BUNDA

17 FEBUARI 2009
8.30 AM

TANGGAL KERAMAT
DAN DETIK INI MENUAHI
SELURUH KAUM KELUARGAKU
TELAH SEMBILAN BULAN DUA MINGGU
KAMI MENANTIKANNYA
AKHIRNYA IA HADIR JUA
HADIR KEPANGKUAN
IBU DAN AYAHNYA,
NENEK DAN DATUKNYA,
BUNDA DAN UMMINYA,
SERTA,
APAK DAN UNCUNYA.

KAMI MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG PADAMU,
SANG MASKULIN BUAH HATI SEMUA.

TERIMA KASIH ADIKKU,
HADIAH INI TIDAK TERNILAI HARGANYA
NYAWA TARUHANNYA
KAU PERJUANGKAN UNTUK
MEMBAHAGIAKAN SEMUA.

DIA TETAP & MASIH ...KU...

walau apa pun,
yang dilakukan olehnya,
meskipun jua,
haram perlakuannya,
waima dosa,
yang dilakukannya,
dia masih dan tetap,
ibuku...


ibu,
kau ajarkan aku
kau tunjukki aku
kau pimpini aku
ke jalan lurus
tapi mengapa kau yang tersasar?
mengapa kau hilang di jalan yang lurus?
mengapa kau biarkan anakmu
sendirian terumbang dek gelombang
arus kehidupan?


jalan ini masih panjang,
jalan ini tiada penghujung,
dan di jalan ini,
anak-anakmu menunggu...

Sunday, February 15, 2009

TIDAKKAH MEREKA...?

waktu bersilih ganti...
musim datang dan pergi...
mengertikah mereka apa yg aku omongkan?
tahukah kalian kini aku sengsara?
tugasan dan beban juga tanggungjawab
kupikul sekaligus
tapi...
kalian seakan tidak mengerti...
mereka seolah tidak memahami situasi aku...
sudah kuterangkan
sudah kuwartakan
sudah kutitipkan
namun,
mereka seperti tidak mengerti...
harus bagaimana lagi?
akan kumarahi mereka?
akan kuteriakkan pada cuping mereka?
atau saja...
aku membisu?


p/s - utk adik (rozi) tersyg...
fahamilah tanggungjawab along...
cerah dan kelamnya masa depan along terletak pada semester ini....

Monday, February 2, 2009

KESILAPAN...

Setelah hampir seminggu menelaah, meneliti, memahami konsep dan cara penulisan, cara pengarang memperkenalkan watak serta perkembangan cerita dalam 10 novel yang terpilih (sebenarnya yang ditugaskan) oleh penyelia PeTA Epa, barulah Epa tahu dan nampak di mana kesilapan dan kekurangan dalam permulaan penulisan “TUHFAH” Epa.
Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak kepada En. Wan yang mendera Epa dalam diam telah berjaya mencelikkan mata Epa yang selama ini dikaburi oleh entah apa-apa masalah. Dan sekarang Epa kena kembali menulis dan meneliti di mana Epa nak mulakan BAB 1 Epa dalam “TUHFAH.” Walaupun sudah 2 kali Epa menunjukkan hasil penulisan BAB 1 Epa kepada En. Wan tetapi Epa masih tidak berpuas hati lagi. Bak kata Shamsul Ghau Ghau dalam Gelanggang Raja Lawak belum “MANTOP”.

Kepada En. Wan :


Saya minta maaf kerana telah menyusahkan En. Wan dengan membaca BAB 1 saya yang tunggang-langgang tu…

Ini antara 10 novel yang terpilih itu :

1) SENJAKALA – BAHARUDDIN KAHAR
2) MADU DALAM SARINGAN – MOKHTAR AHMAD
3) SUAMI – ALI JUSOH
4) SUNGAI MENGALIR LESU – A. SAMAD SAID
5) TUKCAI – AZIZI ABDULLAH
6) VILLA MAYA – ZAKARIA ALI
7) MUFARAKAH – RAHMAN SHAARI
8) RANJAU SEPANJANG JALAN – SHANON AHMAD
9) TUHAN MANUSIA – FAISAL TEHRANI
10)PANGKALAN KEDUA – OTHMAN PUTEH

Thursday, January 29, 2009

T.E.K.A.N.A.N...!!!







Huh! Tekanannya...!Beginilah serabutnya kepala otak ni sekarang agaknya... Ingat seminggu cuti ni dapatlah menyempurnakan kerja yang tak sudah untuk Peta ni tapi... lain pula jadinya... cuti ni Epa hanya dapat membaca sahaja... menulis Epa tidak... sebab masa Epa banyak terbuang untuk menjaga adik yang sarat mengandung... adik ipar Epa pula minta tolong jaga isteri dia, adik Epa takut di saat-saat akhir dia mengandung anak pertama ini diamahukan alongnya yang menjaga... tapi Epa tidak punya waktu yang banyak lagi... hidup mati Epa hanya dalam 4 bulan dari sekarang... Harus bagaimana lagi Epa...? Epa hanya mampu lakukan apa yang terdaya... hal lain cuba Epa letak ketepi waima perasaan sendiri, aktiviti mingguan dan segala-galanya yang menjadi rutin kehidupan Epa dalam setiap bulan juga terpaksa Epa lupakan. Kini tumpuan Epa hanya pada PeTA dan kuliah... adik pa? mungkin dalam bulan 2 ini saja Epa harus bersusah-payah apabila dia sudah melahirkan anak saudara sulong Epa, Insya-Allah... rutin Epa kembali normal... Ya-Allah... bantulah hambu-Mu yang lemah ini dan berikanlah si kecil ini kekuatan untuk menempuh perjalanan hidup yang singkat ini... Huh! hidup... hidup....