Friday, August 28, 2009

PANTASKANLAH WAKTU INI BERLARI...

Perlekaskanlah detik waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup berlama-lamaan di kala serba serbi payah hidup ini. Mungkin atau memang salah aku jua suatu waktu dulu. Aku tersangat ikutkan rasa senang-lenangku waktu itu. Dan kini? Rasakan pada muka kau Epa!

Rasanya mahu saja aku gelak besar. Ketawa sepuas-puasnya. Gelakkan diri ini. Tapi, adakah aku puas setelah itu? Adakah ketenangan jiwa yang kukecapi? Barangkali orang yang melihat akan berkata, “gila perempuan tu agaknya.” Dan waktu itu haruskah aku berang mendengarnya? Perlukah aku melawannya kembali dengan mempertahankan kebenaran yang kurasa ia benar? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku memang salah.

Tiba-tiba aku teringat dengan falsafah seorang teman kuliah yang sehingga kini kupegang dan kadang-kala menjadi tunjang utama karyaku. Falsafah itu berbunyi, “hidup bukan pilihan tapi kita yang harus memilih.”

Dan hidup disisi keluarga pada bulan puasa ini adalah pilihanku.

Tuesday, August 11, 2009

TAHNIAH GURU!


11 OGOS 2009 mungkin tarikh yang bermakna pada potret insan di sebelah. TAHNIAH Datuk Doktor Anwar Ridhwan! Akhirnya impian setiap penulis menjadi kenyataan pada anda setelah penat dan jerih mendaki, kini anda berada di puncak. Anda sememangnya orang yang paling layak bergelar Sasterawan Negara yang ke-10. Epa berbangga sangat-sangat kerana dapat menjadi pelajarnya waima hanya sebagai dekan fakulti penulisan. Anda punya hati dan sikap yang begitu lembut sekali. Tiada tandingannya. Insya-Allah sebagai murid, perlahan-lahan Epa memasang nawaitu untuk mencapai tahap seperti beliau.