Tuesday, October 27, 2009

Gulita malam yang hangat mengajak aku menyelongkar khazanah kesayangan. Satu persatu barang berharga kutemui. Terimbas kembali kenangan apabila melihat sesuatu yang berharga itu. Mulanya aku mengerti akan kehendak diri. Dari situ juga aku memahami apa yang kuinginkan dalam hidup ini. Ianya sekadar coretan biasa yang kusalin semula didalam sebuah buku kecil bergari satu. Coretan-coretan itu bukan sahaja cotengan biasa atau luahan rasa. Ia adalah puisi yang kukenal, kubaca dan kucintai hingga kini. Waima bahasanya tidak setinggi bahasa Sasterawan Negara mahupun pujangga lain. Tetapi, cukup puas bagiku jika mengenang dan membacanya kembali dalam nada bersajak. Kenangan yang paling tidak dapat kulupakan adalah buat pertama kalinya aku deklamasikan sebuah sajak di dalam bilik darjah terus membawa aku JOHAN dalam pertandingan deklamasi. Sesuatu yang tidak pernah kujangka waktu itu. Dan masih segar lagi dalam kotak fikirku, puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ pernah jua kudendangkan pada hadirin di waktu majlis sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya, Ampang.




Kerja menyelongkar dan membersih memang kerja aku di rumah. Habis semua barang kubongkar. Dan kali ini aku bertemu dengan satu lagi khazanah yang kufikir ada nilainya. Inilah dia sebuah buku kecil yang kurapikan dengan pembalut berbunga. Di dalamnya penuh dengan luahan rasa aku waktu itu. Ketidakpuasan hati pada manusia, alam dan binatang juga terhimpun di dalamnya.




Meskipun keduanya sudah kelihatan agak uzur (lebih uzur yang satu lagi), tapi akan ku simpan untuk dilihatkan kepada suami, anak dan cucu-cucuku suatu saat nanti.

Tuesday, October 20, 2009

IDOLAKU

Orang tua itu... rambut dan janggutnya hampir sama panjang. Urnanya juga. Bertubuh kecil dan kurus tapi masih mampu berjalan walau sejauh mana beliau mahu tuju tanpa sebarang pengangkutan. Alangkah!

Dengan tas kain yang digelek di bahu kanan menampakkan lagi kewibawaannya sebagai seorang seniman. Seniman yang bukan bergojet, bergelek dan berdrama di atas pentas, tapi beliau berjoget, bergelek dan berdrama dengan kitab-kitabnya.

Penulis yang aku sanjung. Penyair yang mula-mula kukenali. Sasterawan yang pertama kucintai. Putih uban itu barangkali yang menarikku. Akan kuteriakkan pada dunia akan rambut dan janggutnya itu yang berjaya memikat hatiku untuk terus melangkah sama dan selari dengan beliau suatu saat nanti.

Satu persatu kaki kugaghi untuk maju ke hadapan berganding bersama mereka. Dengan harapan aku juga akan menjadi seperti mereka!

Wednesday, October 14, 2009

Terasa

Gelap.

Hitam.

Pekat.

Mata.

Tertutup.

Anak.

Menangis.

Hujan.