Tuesday, June 30, 2009

PERPINDAHAN

Bukan berpindah sekolah, bukan berpindah kampus bukan juga berpindah rumah. Akan tetapi ia adalah satu perpindahan laman mini untuk santapan nyali tetamu di sini. Dari rainroses.wordpress.com hinggalah ke amepa.blogspot.com. Semasa ia tercipta, penulis sedang sesak dibebani oleh tugasan-tugasan kuliah, namun untuk menenangkan peribadi untuk terus berjuang, Epa cuba rehatkan minda dengan menghasilkan puisi yang tidak seberapa nak elok ini. Cukup sekadar pelepas rasa rindu pada pembikinan puisi. Selamat menyantap.


HARAPAN

Sedalam cintaku
Pada kekasih
Dalam lagi cintaku kepada
Tuhanku.

Jangan kau tersalah duga
Setinggi hormatku
Pada kekasih
Tinggi lagi hormatku kepada
Tuhanku.

Jangan kau menuding telunjuk
Kerana kau hanya dicipta untuk aku
Bukan kau yang mencipta aku.

Jangan kau tersalah tafsir
Cintaku bukan semata untukmu
Cintaku terbahagi sembilan
Cintaku bukan satu.

Jangan kau berharap
Kau ditempat pertama.

Monday, June 15, 2009

TUAH 12


12 Mac 2004, tanggal keramat di mana Epa berani mengambil risiko untuk menyerahkan hati dan perasaan pada seorang pemuda yang Epa sendiri buat waktu itu tidak tahu sama ada dia hanya sekadar bercanda dan hanya untuk melepaskan kesunyian nyalinya tanpa wanita. Namun, setelah lima tahun ikatan yang tidak rasmi itu terjalin, dia masih berpegang pada janji. Alhamdulillah... hanya itu yang mampu Epa luahkan.


12 Jun 2009, satu lagi tarikh penentu masa depan Epa telah Epa lalui dengan hati lapang. Hari pembentangan projek Penilaian Tahun Akhir setelah tiga tahun menghempas pulas menimba sebanyak mungkin ilmu yang dicurahkan oleh para pendidik di ASWARA, akhirnya membuahkan hasil yang lumayan dan memuaskan. Kebaloian yang ditunggu-tunggu mencapai nikmat puncak bahagia apabila mendengar komentar yang membina oleh para penilai. Alhamdulillah sekali lagi terpancut di bibir Epa.


Tuhfah yang paling berharga dalam hidup ini adalah ilmu yang dituangkan oleh para guru digunakan sebaik mungkin. Kemudian rasailah kepuasan yang tiada tandingannya itu.


Dua kalimat sebelas abjad yang disusun menjadi sebuah penghargaan yang tidak pernah lekang pada dua rekahan bibir buat mereka yang tidak pernah jemu menyirami Epa dengan ilmu dunia dan akhirat.


Tiada bungkusan cenderamata yang dihulurkan buatmu wahai pendidik untuk membalas jasa kalian. Hanya keberhasilan anak didikmu ini yang mampu diberikan. Dan marilah kita kongsi ianya bersama selain rasa syukur yang menggunung dalam diri ini apabila kamu semua berjaya mendidik anak bangsa.