Friday, February 27, 2009

PAHIT MANIS FEBRUARI


Mulanya…

Februari yang senteng ini dianggarkan bulan yang pahit untuk dilalui….

Sangkaan Epa bulan ini bulan yang menyeksakan tanpa ada sinar dibaliknya. Apa tidaknya awal-awal lagi Epa sudah diuji dengan masa dan tanggungjawab. Tanggungjawab seorang kakak, pelajar dan bakal penulis.

24 jam sehari,


Kini baru Epa rasakan angka itu tidak mencukupi untuk melakukan semua kerja dan tanggungjawab. Bayangkan tolak tidur ; enam jam setengah, makan ; setengah jam, persiapan membersihkan diri dan masa menghadap TUHAN sudah makan masa satu jam. Epa sudah kehilangan lapan jam. Hanya tinggal 16 jam saja lagi.

Waktu 16 jam itu sangat singkat.


Cuma perlu pejam celikkan mata sudah telan 15 jam. Sisanya satu jam cuma.

Satu jam!


Terfikir dek benak Epa, apa yang perlu Epa lakukan selama satu jam itu? Sudah makan pula suku jam waktunya. Hanya untuk berfikir cuma. Tinggal seperempat waktu lagi. Akhirnya seperempat masa itulah yang Epa gunakan untuk menulis segala yang terpendam. Termasuklah PeTA yang menanti.

Dan di bulan Februari ini juga, Epa mendapat cahaya yang dinanti… kedatangan seorang maskulin tautan hati semua yang menanti…

Mudah-mudahan bulan seterusnya Epa dapat masa yang lebih lagi untuk menyempurnakan PeTA Epa.

PeTA, Oh PeTA…!


Sunday, February 22, 2009

UPIN IPIN isyarat & bukti?




22 februari 2009

Genap dua kali Epa menonton filem kegemaran anak-anak era ini

kalau ada rezeki dan peluang lagi Epa pasti akan menontonnya kembali.

Pertama kali Epa menonton dengan kawan-kawan

dan 22 hari bulan ni, bersamaan hari sabtu,

Epa menunaikan janji Epa pada adik-adik Epa untuk membawa mereka ke panggung

menyaksikan filem "Geng Pengembaraan Upin dan Ipin."

Bukan main gembira lagi dia orang. Sehingga sampai di rumah pun dia orang

masih lagi rancak bercerita Upin dan Ipin ini pada Epa. Padahal mereka tahu yang Epa sudah

menontonnya dahulu sebelum mengajak mereka. Mereka cuba mengulang dan meniru gaya dan

aksi Upin dan Ipin di dalam filem ini.


Dengan terhasilnya Upin dan Ipin ini,

maka ia terbukti bahawa kemampuan rakyat Malaysia juga mampu setanding dengan

kehebatan filem-filem kartun dari luar negara.
Dan ia adalah satu isyarat dan juga petanda bahawa
rakyat Malaysia sedia menyahut cabaran!


KETIDAKSABARANKU

LEKASLAH MALAM BERLALU
AKU SUDAH TIDAK ENAK MENUNGGU
DEBARAN YANG TIDAK TERTANGGUNG OLEH DIRIKU
MENANTI SAAT MENGENDONG DIRIMU

PANTASKANLAH WAKTU INI
KERANA AKU TIDAK MAHU LAGI MENANTI
SETIAP DETIK YANG TIDAK BERERTI
KERANA DIRI TELAH DIRASUKI

SEUSAI BULAN BERSEMBUNYI
FAJAR TERBIT SINARI PAGI
DAN AKU AKAN TERUS BERLARI
TANPA MENOLEH KE BELAKANG LAGI



p/s :- khas buat anak bunda (NAWFAL)
bunda akan sentiasa merinduimu....

Thursday, February 19, 2009

TOPENG DAN PENGGEMARNYA

Kelmarin, rakan seangkatan meluahkan rasa kurang enaknya pada Epa. Kata ayah, 'kalau hendak jadi pemimpin, harus menjadi pendengar yang baik.' Dan Epa memang terlatih untuk itu. Kerana Epa komando untuk empat orang prebet lagi. Dengan hati yang teguh tanpa berbelah bahagi, Epa mendengar luahan itu.

Katanya… c anu ni bertopeng. Dan penggemarnya pula sangat menggemari cara dan lenggok c anu ni. Ditambah lagi dengan arca dan lukisan yang menarik pada topeng, maka bertambah-tambah cantik dan menariklah c anu di mata c polan. Tapi yang sedihnya c anu ni sanggup membontotkan rakan-rakan seiring dan sejalannya, serumah dan setilamnya. Bukan sahaja setakat mengenepikan, bukan sahaja membelakangkan, malah terus membontotkan rakan-rakannya ini yang kononnya bila susah sesama bila senang, c anu bertopeng.

Sehingga di sekolah, dari mula junior, senior, cikgu hinggalah guru besar tertarik pada ketopengan c anu ini. Yang c polan kononnya pendidik bangsa, penegak bahasa, pemimpin masyarakat juga turut tertipu dengan lenggokkan dan permainan c anu ini. Kasihan kawan-kawan c anu.

Kenapalah dunia ini dipenuhi oleh orang yang bertopeng sebegini? Perlukah topeng itu dalam hidup ini?

Mak Epa selalu cakap,
‘kita perlu hidup dengan nasi putih dan air suam saja’ Epa sangat-sangat memahami kata-kata itu.

Sekali dengar gah bunyinya. Tetapi bila difikir dan direnungkan kembali, ayat itu hanya untuk manusia bodoh sahaja. Sedangkan mak Epa sendiri sedang bermain dengan perisa dan pewarna kehidupan ini.

Dada kecil Epa hanya mampu mengembangkan doa selebar-lebarnya untuk
c anu
yang bertopeng ini dan juga penggemarnya yang setia.

ANJING MABUK PADANG MERBOK

Agaknya puaka Padang Merbok telah tiba, agaknya juga anjing-anjing itu mabuk dek banyak minum. Apa tidaknya setiap kali yang menapak di padang itu, pasti dikejar dengan anjing-anjing mabuk ini. Si pejalan pula bila anjing sudah gonggong, dada berombak kencang, kaki automatik lari. Bila dah lari, anjing ikut lari mengejar. Tapi, bila si pejalan terjatuh, anjing pun bawa diri. Aneh bunyinya bukan?

Tapi inilah hakikatnya. Selama lapan hari Epa tinggal di Asrama ASWARA ni, inilah rutin harian si anjing-anjing mabuk. Dan mungkin juga puaka dari Padang Merbok. Siapa tahu?


Minggu lepas sahaja dua cerita dari teman rapat mewartakan pada Epa bahawa dia baru sahaja lepas dikejar anjing di Padang Merbok. Yang seorang cedera di bahagian pinggangnya demi melindungi kamera kesayangan, sanggup mencederakan diri sendiri. Dan seorang lagi terkejut kerana gongongan anjing, dan terus cabut lari maka, terlekaplah luka-luka ditangan, kaki dan juga dadanya. Dan hari isnin yang baru berlepas ini pula, seorang teman sekasbah Epa menjadi mangsa gonggongan anjing-anjing mabuk ini. Syukurlah dia tidak cedera tetapi rakannya pula yang telah tercium tar dan tertempellah luka kecil di lutut dan kakinya.

Ini yang terbaru. Kelmarin, 18 Febuari 2009 Epa sendiri yang menyaksikan anjing-anjing mabuk ini mengejar mangsanya. Dalam kesamaran cahaya malam, Epa melihat lima ekor anjing sedang berlari mengejar seorang mangsa. Mangsa terjatuh dan cuba gagahkan diri melawan anjing-anjing itu dengan membaling sesuatu pada anjing. Anjing bertempiaran lari.


Apalah agaknya yang dimahukan oleh anjing-anjing itu, ya? Laparkah ia? Atau… ia dilanda penyakit sawan?


Kalaulah Epa dapat menyelami perasaan anjing-anjing itu, pasti Epa cari penawarnya agar ia tidak lagi menganggu manusia lain. Alangkah!


Tuesday, February 17, 2009

BAYANGKAN

Gambarkan anda baru sebesar ini
Gambarkan anda baru hendak bertunas
Gambarkan anda baru saja mahu hidup
Tidakkah anda terbayangkan hidup
Yang akan anda lalui Sangat memeritkan
Dengan suhu kepanasan
Dengan tiada bekalan makanan
Dengan jiwa yang kekosongan
Bagaimana anda agaknya?
Ketahuilah itu.


ITULAH SEMANGATNYA...!

Kayuh punya kayuh
Punya kayuh
Gigih aku mengayuh
Pulun punya pulun
Punya pulun
Sekeras tenaga aku memulun
Aku hampir sedar
Aku hampir terdampar
Namun,
Aku tidak mahu kalah
Aku terus lagi mendayung
Kali ini lebih perlahan
Perlahan, perlahan dan perlahan
Impianku cuma satu
Sebaris dengan mereka!

Monday, February 16, 2009

BUNDA

17 FEBUARI 2009
8.30 AM

TANGGAL KERAMAT
DAN DETIK INI MENUAHI
SELURUH KAUM KELUARGAKU
TELAH SEMBILAN BULAN DUA MINGGU
KAMI MENANTIKANNYA
AKHIRNYA IA HADIR JUA
HADIR KEPANGKUAN
IBU DAN AYAHNYA,
NENEK DAN DATUKNYA,
BUNDA DAN UMMINYA,
SERTA,
APAK DAN UNCUNYA.

KAMI MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG PADAMU,
SANG MASKULIN BUAH HATI SEMUA.

TERIMA KASIH ADIKKU,
HADIAH INI TIDAK TERNILAI HARGANYA
NYAWA TARUHANNYA
KAU PERJUANGKAN UNTUK
MEMBAHAGIAKAN SEMUA.

DIA TETAP & MASIH ...KU...

walau apa pun,
yang dilakukan olehnya,
meskipun jua,
haram perlakuannya,
waima dosa,
yang dilakukannya,
dia masih dan tetap,
ibuku...


ibu,
kau ajarkan aku
kau tunjukki aku
kau pimpini aku
ke jalan lurus
tapi mengapa kau yang tersasar?
mengapa kau hilang di jalan yang lurus?
mengapa kau biarkan anakmu
sendirian terumbang dek gelombang
arus kehidupan?


jalan ini masih panjang,
jalan ini tiada penghujung,
dan di jalan ini,
anak-anakmu menunggu...

Sunday, February 15, 2009

TIDAKKAH MEREKA...?

waktu bersilih ganti...
musim datang dan pergi...
mengertikah mereka apa yg aku omongkan?
tahukah kalian kini aku sengsara?
tugasan dan beban juga tanggungjawab
kupikul sekaligus
tapi...
kalian seakan tidak mengerti...
mereka seolah tidak memahami situasi aku...
sudah kuterangkan
sudah kuwartakan
sudah kutitipkan
namun,
mereka seperti tidak mengerti...
harus bagaimana lagi?
akan kumarahi mereka?
akan kuteriakkan pada cuping mereka?
atau saja...
aku membisu?


p/s - utk adik (rozi) tersyg...
fahamilah tanggungjawab along...
cerah dan kelamnya masa depan along terletak pada semester ini....

Monday, February 2, 2009

KESILAPAN...

Setelah hampir seminggu menelaah, meneliti, memahami konsep dan cara penulisan, cara pengarang memperkenalkan watak serta perkembangan cerita dalam 10 novel yang terpilih (sebenarnya yang ditugaskan) oleh penyelia PeTA Epa, barulah Epa tahu dan nampak di mana kesilapan dan kekurangan dalam permulaan penulisan “TUHFAH” Epa.
Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak kepada En. Wan yang mendera Epa dalam diam telah berjaya mencelikkan mata Epa yang selama ini dikaburi oleh entah apa-apa masalah. Dan sekarang Epa kena kembali menulis dan meneliti di mana Epa nak mulakan BAB 1 Epa dalam “TUHFAH.” Walaupun sudah 2 kali Epa menunjukkan hasil penulisan BAB 1 Epa kepada En. Wan tetapi Epa masih tidak berpuas hati lagi. Bak kata Shamsul Ghau Ghau dalam Gelanggang Raja Lawak belum “MANTOP”.

Kepada En. Wan :


Saya minta maaf kerana telah menyusahkan En. Wan dengan membaca BAB 1 saya yang tunggang-langgang tu…

Ini antara 10 novel yang terpilih itu :

1) SENJAKALA – BAHARUDDIN KAHAR
2) MADU DALAM SARINGAN – MOKHTAR AHMAD
3) SUAMI – ALI JUSOH
4) SUNGAI MENGALIR LESU – A. SAMAD SAID
5) TUKCAI – AZIZI ABDULLAH
6) VILLA MAYA – ZAKARIA ALI
7) MUFARAKAH – RAHMAN SHAARI
8) RANJAU SEPANJANG JALAN – SHANON AHMAD
9) TUHAN MANUSIA – FAISAL TEHRANI
10)PANGKALAN KEDUA – OTHMAN PUTEH