Friday, December 18, 2009

KETIKA


Terkesan seketika

Terkesima sedetik

Saat terdengar akan lirik lagu

Yang bisa meruntum pangkal nyali…



Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu maha cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika cinta bertasbih

Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta



Sunday, December 6, 2009

WARKAH BUAT MEREKA

Persoalan ini acapkali menyapa perigi fikiranku. Mengapa bila kita jujur orang susah mahu menerima kenyataan tapi, bila kita berbohong orang sangat mudah untuk mempercayainya? Dalam hal ini, siapa salah dan siapa benar? Aku atau mereka? Untuk tahun 2009 sahaja aku sudah mengalami perkara yang sama sebanyak dua kali. Mengapa mereka susah mahu menerima kenyataan yang benar itu? Aku tidak mahu membohongi sesiapa... aku cuma mahu jujur dalam perhubungan... itu sahaja. Salahkah aku berbuat demikian?

Adakah itu satu lumrah manusia yang baru kutemui sepanjang 23 tahun hidup ini? Atau... adakah perjalanan hidupku untuk mengenal erti sebuah kehidupan sebegitu rupa? Sebegitu yang sering mengganggu hati dan perasaan? Bila nyali dah terguris, pedihnya menghiris. Melalui kolam air mata sahaja bisa kubuang dan kucuba bangun perlahan-lahan demi meneruskan hidup yang belum selesai.

Ku menyeru kepada mereka, janganlah singgah di qalbi ini jika tidak dapat menerima aku seadanya. Cukuplah dengan apa yang kumiliki kini. Aku tidak mahu lebih.

Kepada bonda dan ayahanda, anakmu memohon ampun seribu kemaafan dipohon. Bukan anakanda tidak mahu mencuba untuk menunaikan hasrat bonda dan ayahanda tapi mereka yang tidak mahu menerima anakanda seadanya. Apakan daya hati anakanda masih ada dia. Bukan anakanda yang pinta keberadaannya di situ. Bukan.

Puas sudah anakanda melemparkan doa seluas-luas lautan, puas sudah anakanda berikhtiar. Dan sudah letih rasanya qalbi ini menerima kehadiran insan-insan yang sekadar singgah lalu pergi. Anakanda sudah capek bonda, ayahanda. Berilah ruang untuk anakanda bernafas dengan tenang agar perjalanan anakanda tiada sangkut-sangkut.

Wednesday, November 11, 2009

Sekadar Luahan

Bila aku sendiri
Terasa diri sepi
Tiada siapa yang mampir
Tiada siapa yang hadir

Tika aku ingin sendiri
Saat waktu mengejar diri
Semua datang mampir
Kalian semua hadir

Tapi,
Bila aku lagi keseorangan
Tika aku lagi sendirian
Gusar hidup yang penuh kebosanan
Sendirian aku ditinggalkan.


24 april 2009
12:50 am

Tuesday, October 27, 2009

Gulita malam yang hangat mengajak aku menyelongkar khazanah kesayangan. Satu persatu barang berharga kutemui. Terimbas kembali kenangan apabila melihat sesuatu yang berharga itu. Mulanya aku mengerti akan kehendak diri. Dari situ juga aku memahami apa yang kuinginkan dalam hidup ini. Ianya sekadar coretan biasa yang kusalin semula didalam sebuah buku kecil bergari satu. Coretan-coretan itu bukan sahaja cotengan biasa atau luahan rasa. Ia adalah puisi yang kukenal, kubaca dan kucintai hingga kini. Waima bahasanya tidak setinggi bahasa Sasterawan Negara mahupun pujangga lain. Tetapi, cukup puas bagiku jika mengenang dan membacanya kembali dalam nada bersajak. Kenangan yang paling tidak dapat kulupakan adalah buat pertama kalinya aku deklamasikan sebuah sajak di dalam bilik darjah terus membawa aku JOHAN dalam pertandingan deklamasi. Sesuatu yang tidak pernah kujangka waktu itu. Dan masih segar lagi dalam kotak fikirku, puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ pernah jua kudendangkan pada hadirin di waktu majlis sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya, Ampang.




Kerja menyelongkar dan membersih memang kerja aku di rumah. Habis semua barang kubongkar. Dan kali ini aku bertemu dengan satu lagi khazanah yang kufikir ada nilainya. Inilah dia sebuah buku kecil yang kurapikan dengan pembalut berbunga. Di dalamnya penuh dengan luahan rasa aku waktu itu. Ketidakpuasan hati pada manusia, alam dan binatang juga terhimpun di dalamnya.




Meskipun keduanya sudah kelihatan agak uzur (lebih uzur yang satu lagi), tapi akan ku simpan untuk dilihatkan kepada suami, anak dan cucu-cucuku suatu saat nanti.

Tuesday, October 20, 2009

IDOLAKU

Orang tua itu... rambut dan janggutnya hampir sama panjang. Urnanya juga. Bertubuh kecil dan kurus tapi masih mampu berjalan walau sejauh mana beliau mahu tuju tanpa sebarang pengangkutan. Alangkah!

Dengan tas kain yang digelek di bahu kanan menampakkan lagi kewibawaannya sebagai seorang seniman. Seniman yang bukan bergojet, bergelek dan berdrama di atas pentas, tapi beliau berjoget, bergelek dan berdrama dengan kitab-kitabnya.

Penulis yang aku sanjung. Penyair yang mula-mula kukenali. Sasterawan yang pertama kucintai. Putih uban itu barangkali yang menarikku. Akan kuteriakkan pada dunia akan rambut dan janggutnya itu yang berjaya memikat hatiku untuk terus melangkah sama dan selari dengan beliau suatu saat nanti.

Satu persatu kaki kugaghi untuk maju ke hadapan berganding bersama mereka. Dengan harapan aku juga akan menjadi seperti mereka!

Wednesday, October 14, 2009

Terasa

Gelap.

Hitam.

Pekat.

Mata.

Tertutup.

Anak.

Menangis.

Hujan.

Friday, August 28, 2009

PANTASKANLAH WAKTU INI BERLARI...

Perlekaskanlah detik waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup berlama-lamaan di kala serba serbi payah hidup ini. Mungkin atau memang salah aku jua suatu waktu dulu. Aku tersangat ikutkan rasa senang-lenangku waktu itu. Dan kini? Rasakan pada muka kau Epa!

Rasanya mahu saja aku gelak besar. Ketawa sepuas-puasnya. Gelakkan diri ini. Tapi, adakah aku puas setelah itu? Adakah ketenangan jiwa yang kukecapi? Barangkali orang yang melihat akan berkata, “gila perempuan tu agaknya.” Dan waktu itu haruskah aku berang mendengarnya? Perlukah aku melawannya kembali dengan mempertahankan kebenaran yang kurasa ia benar? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku memang salah.

Tiba-tiba aku teringat dengan falsafah seorang teman kuliah yang sehingga kini kupegang dan kadang-kala menjadi tunjang utama karyaku. Falsafah itu berbunyi, “hidup bukan pilihan tapi kita yang harus memilih.”

Dan hidup disisi keluarga pada bulan puasa ini adalah pilihanku.