Tuesday, October 27, 2009

Gulita malam yang hangat mengajak aku menyelongkar khazanah kesayangan. Satu persatu barang berharga kutemui. Terimbas kembali kenangan apabila melihat sesuatu yang berharga itu. Mulanya aku mengerti akan kehendak diri. Dari situ juga aku memahami apa yang kuinginkan dalam hidup ini. Ianya sekadar coretan biasa yang kusalin semula didalam sebuah buku kecil bergari satu. Coretan-coretan itu bukan sahaja cotengan biasa atau luahan rasa. Ia adalah puisi yang kukenal, kubaca dan kucintai hingga kini. Waima bahasanya tidak setinggi bahasa Sasterawan Negara mahupun pujangga lain. Tetapi, cukup puas bagiku jika mengenang dan membacanya kembali dalam nada bersajak. Kenangan yang paling tidak dapat kulupakan adalah buat pertama kalinya aku deklamasikan sebuah sajak di dalam bilik darjah terus membawa aku JOHAN dalam pertandingan deklamasi. Sesuatu yang tidak pernah kujangka waktu itu. Dan masih segar lagi dalam kotak fikirku, puisi Usman Awang yang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ pernah jua kudendangkan pada hadirin di waktu majlis sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya, Ampang.




Kerja menyelongkar dan membersih memang kerja aku di rumah. Habis semua barang kubongkar. Dan kali ini aku bertemu dengan satu lagi khazanah yang kufikir ada nilainya. Inilah dia sebuah buku kecil yang kurapikan dengan pembalut berbunga. Di dalamnya penuh dengan luahan rasa aku waktu itu. Ketidakpuasan hati pada manusia, alam dan binatang juga terhimpun di dalamnya.




Meskipun keduanya sudah kelihatan agak uzur (lebih uzur yang satu lagi), tapi akan ku simpan untuk dilihatkan kepada suami, anak dan cucu-cucuku suatu saat nanti.

Tuesday, October 20, 2009

IDOLAKU

Orang tua itu... rambut dan janggutnya hampir sama panjang. Urnanya juga. Bertubuh kecil dan kurus tapi masih mampu berjalan walau sejauh mana beliau mahu tuju tanpa sebarang pengangkutan. Alangkah!

Dengan tas kain yang digelek di bahu kanan menampakkan lagi kewibawaannya sebagai seorang seniman. Seniman yang bukan bergojet, bergelek dan berdrama di atas pentas, tapi beliau berjoget, bergelek dan berdrama dengan kitab-kitabnya.

Penulis yang aku sanjung. Penyair yang mula-mula kukenali. Sasterawan yang pertama kucintai. Putih uban itu barangkali yang menarikku. Akan kuteriakkan pada dunia akan rambut dan janggutnya itu yang berjaya memikat hatiku untuk terus melangkah sama dan selari dengan beliau suatu saat nanti.

Satu persatu kaki kugaghi untuk maju ke hadapan berganding bersama mereka. Dengan harapan aku juga akan menjadi seperti mereka!

Wednesday, October 14, 2009

Terasa

Gelap.

Hitam.

Pekat.

Mata.

Tertutup.

Anak.

Menangis.

Hujan.

Friday, August 28, 2009

PANTASKANLAH WAKTU INI BERLARI...

Perlekaskanlah detik waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup berlama-lamaan di kala serba serbi payah hidup ini. Mungkin atau memang salah aku jua suatu waktu dulu. Aku tersangat ikutkan rasa senang-lenangku waktu itu. Dan kini? Rasakan pada muka kau Epa!

Rasanya mahu saja aku gelak besar. Ketawa sepuas-puasnya. Gelakkan diri ini. Tapi, adakah aku puas setelah itu? Adakah ketenangan jiwa yang kukecapi? Barangkali orang yang melihat akan berkata, “gila perempuan tu agaknya.” Dan waktu itu haruskah aku berang mendengarnya? Perlukah aku melawannya kembali dengan mempertahankan kebenaran yang kurasa ia benar? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku memang salah.

Tiba-tiba aku teringat dengan falsafah seorang teman kuliah yang sehingga kini kupegang dan kadang-kala menjadi tunjang utama karyaku. Falsafah itu berbunyi, “hidup bukan pilihan tapi kita yang harus memilih.”

Dan hidup disisi keluarga pada bulan puasa ini adalah pilihanku.

Tuesday, August 11, 2009

TAHNIAH GURU!


11 OGOS 2009 mungkin tarikh yang bermakna pada potret insan di sebelah. TAHNIAH Datuk Doktor Anwar Ridhwan! Akhirnya impian setiap penulis menjadi kenyataan pada anda setelah penat dan jerih mendaki, kini anda berada di puncak. Anda sememangnya orang yang paling layak bergelar Sasterawan Negara yang ke-10. Epa berbangga sangat-sangat kerana dapat menjadi pelajarnya waima hanya sebagai dekan fakulti penulisan. Anda punya hati dan sikap yang begitu lembut sekali. Tiada tandingannya. Insya-Allah sebagai murid, perlahan-lahan Epa memasang nawaitu untuk mencapai tahap seperti beliau.

Wednesday, July 29, 2009

SENDIRI DI LAUTAN SEPI

Baru kini aku merasakan bagaimana rasanya apabila diri yang tidak sempurna ini tercampak di lautan. Yang dulu hanya hidup di akuarium, aku merasa puas bila sesuatu hasil kerja diterima dan dipuji. Tapi kini, tiada lagi puji-pujian. Tiada lagi kata sanjungan. Tiada kata nasihat dan teguran yang didengar apabila tersalah laku kerja. Tiada lagi. Hanya maki hamun yang diterima, malah.

Aku terkapai-kapai untuk terus hidup dan berenang agar selari dengan mereka yang berada di lautan ini. Rakan-rakan yang masih berada di akuarium, menarik nafas lega kulihat. Lega kerana masih terpenjara di dalam akuarium itu. Lega kerana siripnya masih utuh untuk terus bermain di dalam akuarium. Sedang aku, sudah kelemasan dek kerana persiapan untuk aku berenang di lautan tidak lengkap sepenuhnya. Namun, kupujuk seketul nyali dalam diri agar terus tabah dan bertahan jika mahu segaris dengan ikan-ikan yang besar.

Friday, July 17, 2009

KASIHAN

Mengetahui banyak hal tentang rakan-rakan ASWARA yang punya masalah soal kewangan untuk melanjutkan pelajaran di bumi ASK dahulunya, kini dilanda musim gerimis. Entahkan bila akan redupnya. Barangkali tidak akan redup sehingga keputusan bulat dimeterai. Kasihan mereka. Mereka tidak tahu ini akan berlaku. Tetapi, Epa sudah lama menjangka hal ini akan terjadi pada Epa jika mahu perkara yang sama seperti mereka. Apa tidaknya kalau di negari Epa, (Padang) Epa kini sudah menjadi buah mulut orang. Dengan umur yang semakin meningkat yang tidak juga ada khabar-khabarnya untuk dipetik orang, maka bermulalah seribu macam cerca dan hinaan yang akan dikirimkan pada Epa. Mujur sahaja Epa tinggal di Malaysia. Jika tidak… Wallahualam…

Bunyinya seperti sesuatu yang mulia (sambung belajar) namun, kekangan jiwa dan gelodak riak wajah penjaga yang merayu meminta untuk menghentikan niat suci itu membuatkan sahabat-sahabat Epa hampir kecundang. Ditambah lagi dengan ‘KETEGASAN’ ASWARA yang kononnya pendaftaran dan yuran harus dilangsaikan pada hari pendaftaran juga membuatkan mereka hilang akal, hilang idea untuk meneruskan niat suci mereka. Alangkah!

Bila mengetahui hal ini, Epa rasa hendak mengutuk dan menyumpah dalam hati dengan perubahan baru pengurusan itu. Perlukah semua itu berlaku disaat mereka menggenggam seribu harapan untuk terus berjuang demi nama ASWARA..? Haruskah itu yang dilemparkan oleh mereka-mereka yang suatu saat dahulu dengan pantasnya menghulurkan surat tawaran? Kejamnya duniamu!