Perlekaskanlah detik waktu ini kerana aku sudah tidak sanggup berlama-lamaan di kala serba serbi payah hidup ini. Mungkin atau memang salah aku jua suatu waktu dulu. Aku tersangat ikutkan rasa senang-lenangku waktu itu. Dan kini? Rasakan pada muka kau Epa!
Rasanya mahu saja aku gelak besar. Ketawa sepuas-puasnya. Gelakkan diri ini. Tapi, adakah aku puas setelah itu? Adakah ketenangan jiwa yang kukecapi? Barangkali orang yang melihat akan berkata, “gila perempuan tu agaknya.” Dan waktu itu haruskah aku berang mendengarnya? Perlukah aku melawannya kembali dengan mempertahankan kebenaran yang kurasa ia benar? Sedangkan aku sendiri tahu yang aku memang salah.
Tiba-tiba aku teringat dengan falsafah seorang teman kuliah yang sehingga kini kupegang dan kadang-kala menjadi tunjang utama karyaku. Falsafah itu berbunyi, “hidup bukan pilihan tapi kita yang harus memilih.”
Dan hidup disisi keluarga pada bulan puasa ini adalah pilihanku.
11 OGOS 2009 mungkin tarikh yang bermakna pada potret insan di sebelah. TAHNIAH Datuk Doktor Anwar Ridhwan! Akhirnya impian setiap penulis menjadi kenyataan pada anda setelah penat dan jerih mendaki, kini anda berada di puncak. Anda sememangnya orang yang paling layak bergelar Sasterawan Negara yang ke-10. Epa berbangga sangat-sangat kerana dapat menjadi pelajarnya waima hanya sebagai dekan fakulti penulisan. Anda punya hati dan sikap yang begitu lembut sekali. Tiada tandingannya. Insya-Allah sebagai murid, perlahan-lahan Epa memasang nawaitu untuk mencapai tahap seperti beliau.
Baru kini aku merasakan bagaimana rasanya apabila diri yang tidak sempurna ini tercampak di lautan. Yang dulu hanya hidup di akuarium, aku merasa puas bila sesuatu hasil kerja diterima dan dipuji. Tapi kini, tiada lagi puji-pujian. Tiada lagi kata sanjungan. Tiada kata nasihat dan teguran yang didengar apabila tersalah laku kerja. Tiada lagi. Hanya maki hamun yang diterima, malah.
Aku terkapai-kapai untuk terus hidup dan berenang agar selari dengan mereka yang berada di lautan ini. Rakan-rakan yang masih berada di akuarium, menarik nafas lega kulihat. Lega kerana masih terpenjara di dalam akuarium itu. Lega kerana siripnya masih utuh untuk terus bermain di dalam akuarium. Sedang aku, sudah kelemasan dek kerana persiapan untuk aku berenang di lautan tidak lengkap sepenuhnya. Namun, kupujuk seketul nyali dalam diri agar terus tabah dan bertahan jika mahu segaris dengan ikan-ikan yang besar.
Mengetahui banyak hal tentang rakan-rakan ASWARA yang punya masalah soal kewangan untuk melanjutkan pelajaran di bumi ASK dahulunya, kini dilanda musim gerimis. Entahkan bila akan redupnya. Barangkali tidak akan redup sehingga keputusan bulat dimeterai. Kasihan mereka. Mereka tidak tahu ini akan berlaku. Tetapi, Epa sudah lama menjangka hal ini akan terjadi pada Epa jika mahu perkara yang sama seperti mereka. Apa tidaknya kalau di negari Epa, (Padang) Epa kini sudah menjadi buah mulut orang. Dengan umur yang semakin meningkat yang tidak juga ada khabar-khabarnya untuk dipetik orang, maka bermulalah seribu macam cerca dan hinaan yang akan dikirimkan pada Epa. Mujur sahaja Epa tinggal di Malaysia. Jika tidak… Wallahualam…
Bunyinya seperti sesuatu yang mulia (sambung belajar) namun, kekangan jiwa dan gelodak riak wajah penjaga yang merayu meminta untuk menghentikan niat suci itu membuatkan sahabat-sahabat Epa hampir kecundang. Ditambah lagi dengan ‘KETEGASAN’ ASWARA yang kononnya pendaftaran dan yuran harus dilangsaikan pada hari pendaftaran juga membuatkan mereka hilang akal, hilang idea untuk meneruskan niat suci mereka. Alangkah!
Bila mengetahui hal ini, Epa rasa hendak mengutuk dan menyumpah dalam hati dengan perubahan baru pengurusan itu. Perlukah semua itu berlaku disaat mereka menggenggam seribu harapan untuk terus berjuang demi nama ASWARA..? Haruskah itu yang dilemparkan oleh mereka-mereka yang suatu saat dahulu dengan pantasnya menghulurkan surat tawaran? Kejamnya duniamu!
Selasa, 7/7/2009, satu pesanan ringkas telah Epa hantar pada kawan yang sedia memberi pertolongan dan sentiasa ada walau susah dan senang Epa. Ringkas sahaja bunyinya…
‘Mamu, patut ke aku berhenti kerja sekarang?’
Agak lama juga Epa menanti balasannya. Akan tetapi pesanan itu berbalas juga akhirnya. Dan ringkas juga jawabnya…
‘Malam nanti aku jawab, bagi aku masa fikir.’
Epa sekadar menarik nafas panjang. Epa tahu dia bukan orang yang suka memberi jawapan tanpa berfikir. Dan malam itu dia menghubungi Epa. Panjang lebar nasihatnya pada Epa. Mula-mula tu Epa cuba dan ingin bercerita memberitahu dia betapa tekanannya Epa waktu itu… tapi akhirnya Epa kalah dengan satu ayatnya; ‘
Kalau hang nak berhenti sekarang, dan hang nak balik kampung dengan niat nak tenangkan fikiran dan selepas itu hang akan rasa balik apa yang hang rasa sekarang ni, hang mahu?'
Epa geleng waima dia tidak nampak gelengan Epa itu. Dia menyambung lagi,
‘Sabar Epa, dua tiga bulan je, lepas tu normallah hidup hang,’
Epa berfikir sejenak, mungkin ini dugaan… dugaan selepas PeTA dan permulaan alam pekerjaan sebagai orang yang memegang diploma. Dulu masa sebelum meneruskan niat untuk menyambung belajar, Epa tak ambil peduli dengan kerja bagi Epa selagi kerja itu halal kenapa tidak kita lakukan, tetapi sekarang baru Epa rasa bagaimana perasaan orang yang ada diploma. Ini baru diploma belum ijazah atau master. Entah apa pula rasanya bila bekerja sama taraf dengan orang yang tak habis belajar waktu itu.
Hem… entahlah manusia yang punya akal, hati dan perasaan yang sukar dibendung keinginannya. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak wahai sahabat! Kerana kamu telah memberi aku seribu semangat untuk terus bertahan.
Setelah hampir dua puluh hari menjalani hidup seperti manusia dewasa, Epa rasakan hidup ini lebih rumit dari yang dulu... hidup ini bertambah bosan bagi Epa, hari-hari perlu bekerja, perlu mengikuti masa yang telah ditetapkan dan pulangnya pula dalam keadaan yang meletihkan. Tidak adakah ruang di dunia ini yang bisa Epa hirup udaranya dengan tenang tanpa ada tangungan dan bebanan yang perlu Epa pikul? Yang bisa Epa huni tanpa perlu tuntutan zahir dan duniawi? Adakah tempat yang sebegitu di dunia ini? Epa memerlukannya waktu ini. Perlu untuk diri yang semakin memberontak, perlu untuk jiwa yang semakin kacau bilau. Perlu juga untuk hati yang kian lama bercelaru.
Tiba-tiba qalbi Epa berbisik ; katanya ia teringin untuk hidup di tempat yang udara dingin dan hari-harinya dipenuhi dengan berteman coretan dan cacatan hidup buat simpanan. Tapi akal waras Epa menolaknya, dengan berkata ; gila apa?!
Bukan berpindah sekolah, bukan berpindah kampus bukan juga berpindah rumah. Akan tetapi ia adalah satu perpindahan laman mini untuk santapan nyali tetamu di sini. Dari rainroses.wordpress.com hinggalah ke amepa.blogspot.com. Semasa ia tercipta, penulis sedang sesak dibebani oleh tugasan-tugasan kuliah, namun untuk menenangkan peribadi untuk terus berjuang, Epa cuba rehatkan minda dengan menghasilkan puisi yang tidak seberapa nak elok ini. Cukup sekadar pelepas rasa rindu pada pembikinan puisi. Selamat menyantap.
HARAPAN
Sedalam cintaku Pada kekasih Dalam lagi cintaku kepada Tuhanku.
Jangan kau tersalah duga Setinggi hormatku Pada kekasih Tinggi lagi hormatku kepada Tuhanku.
Jangan kau menuding telunjuk Kerana kau hanya dicipta untuk aku Bukan kau yang mencipta aku.
Jangan kau tersalah tafsir Cintaku bukan semata untukmu Cintaku terbahagi sembilan Cintaku bukan satu.